Namun, boleh jadi keadaan berbeza seketika kadang-kadang. Bila Allah sayang kita, diuji kita dengan rasa kesempitan dada, kepayahan dan penderitaan. Diberikan kita ujian yang paling berat yang tidak diberikan kepada orang lain. Kita selalu merasa keliru pada mulanya sebelum Dia memberikan jalan keluar dan petunjuk. Manusia mencemuh, mencaci dan merendah-rendahkan kita hanya kerana kita membawa risalah-Nya. Bila kita meminta, tidak diberi-Nya serta-merta, dibiarkan kita merintih sampai rasa penghambaan itu benar-benar lahir dan terasa manisnya. Benar janji Allah bahawa barangsiapa bertakwa, akan diberikan jalan keluar baginya, namun boleh jadi jalan keluar itu berliku-liku sebelum sampai kepada penyelesaian yang paling memuaskan.
Oleh itu, haruskah kita merasakan bahawa Allah membenci kita tatkala apa yang kita inginkan tidak diberi-Nya? atau apa yang kita hajatkan tidak ditunaikan-Nya? Haruskah kita merasakan bahawa Allah membenci kita tatkala hidup kita penuh kesengsaraan dan kepayahan? Alangkah indahnya kalau dapat kita fahami bahawa setiap inci ujian yang kita alami adalah sentuhan kasih sayang daripada Allah. Pasti ada rahmat disebalik ujian.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar: 53)
Persoalannya, kita selalu bertanya-tanya sama ada Allah sayang kita atau tak, sebaliknya pernahkah kita risau sama ada kita betul-betul sayangkan Allah melebihi segala-galanya?
No comments:
Post a Comment